Parliamentary Speeches

Second Reading Speech (In Malay) on the Criminal Procedure (Miscellaneous Amendments) Bill 2024 – Speech by Ms Rahayu Mahzam, Senior Parliamentary Secretary, Ministry of Health and Ministry of Law

Published: 05 February 2024

Taklimat Dan Gambaran Keseluruhan

1. Izinkan saya menyingkap semula apa yang telah disebutkan oleh Menteri Shanmugam tadi dan menggariskan prinsip utama yang menyokong sistem keadilan jenayah Singapura. 

2. Matlamat Pemerintah bagi sistem keadilan jenayah kita adalah memastikan keselamatan masyarakat terjamin; agar orang ramai boleh menjalani kehidupan mereka tanpa rasa bimbang tentang keselamatan diri masing-masing.

(a) Singapura adalah antara negara paling selamat di dunia, dengan kadar jenayah yang rendah, sistem perundangan yang adil dan berkesan, dan pasukan polis yang boleh dipercayai. Ini penting demi kesejahteraan masyarakat dan ekonomi kita.

(b) Kita sentiasa meraih kedudukan yang baik dalam bidang undang-undang serta ketenteraman dan keselamatan, dalam kajian dan tinjauan antarabangsa. 

3. Ini telah kita kecapi melalui: 

(a) Undang-undang jenayah yang keras;

(b) Penguatkuasaan undang-undang yang berkesan oleh pihak Polis dan agensi penguatkuasaan undang-undang lain; dan

(c) Prosedur jenayah yang adil dan berkesan.

4. Kita perlu mengimbangi keinginan untuk melindungi hak individu, dan menjaga kepentingan masyarakat. Kita juga perlu sentiasa menyemak dan mengemaskinikan perundangan kita.


Cadangan Pindaan Di Bawah Rang Undang-Undang

5. Terdapat sekitar 20 set pindaan di bawah Rang Undang-undang ini, meliputi pelbagai aspek proses keadilan jenayah.

6. Tiga perubahan utama dicadangkan:

(a) Pertama, kita akan menetapkan satu rangka kerja perundangan untuk pemeriksaan perubatan forensik (“FME”);

(b) Kedua, kita akan memperkenalkan Hukuman untuk Perlindungan Awam Dipertingkat (“SEPP”) yang baru; dan

(c) Ketiga, kita akan membuat pindaan kepada rejim pendedahan untuk kes jenayah kita.


Rangka Kerja Perundangan Bagi FME

7. Saya akan menjelaskan sedikit tentang rangka kerja FME. FME secara amnya terdiri daripada pemeriksaan perubatan fizikal, pengumpulan sampel badan, dan pengambilan gambar bahagian tubuh badan. Melalui proses sedemikian, pihak Polis dapat mengumpul bukti forensik untuk siasatan.

8. Bukti forensik penting dalam penyiasatan jenayah-jenayah besar.

9. Oleh itu, perlu adanya satu rangka kerja perundangan FME yang berkesan.

10. Ciri-ciri utama rangka kerja tersebut adalah seperti berikut:

11. Pertama, kita akan menetapkan langkah perlindungan untuk memastikan FME dijalankan dengan selamat dan sensitif. Ini termasuk, memastikan hanya profesional perubatan yang berkelayakan melakukan pemeriksaan dan prosedur, yang melakukan FME berpuas hati prosedur tidak membahayakan subjek, arahan FME diberikan oleh pegawai Polis yang berpangkat Inspektor atau lebih dan langkah privasi diambil untuk FME buat bahagian sulit misalnya, memastikan FME sedemikian yang perlu dilakukan ke atas seorang wanita, dijalankan oleh pegawai polis atau pakar forensik wanita.

12. Kedua, kita adakan pendekatan yang berbeza untuk yang tertuduh dan mangsa.

(a) Bagi yang tertuduh, Polis akan mempunyai kuasa untuk menghendaki mereka menjalani FME, walaupun mereka tidak memberi persetujuan.

(i) Ini kerana jika seseorang itu bersalah, orang itu berkemungkinan besar akan menolak untuk diperiksa, jika diberi pilihan.

(ii) Kekerasan yang sewajarnya boleh digunakan untuk menjalankan FME, selagi ia tidak melibatkan bahagian badan yang sulit atau prosedur invasif.

(iii)  Adalah menjadi satu kesalahan untuk menolak menjalani FME tanpa alasan yang munasabah, dan yang tertuduh boleh dipenjarakan atau didenda, atau kedua-duanya.

(iv) Mahkamah juga boleh membuat kesimpulan negatif daripada keengganan pihak tertuduh untuk menjalani FME.

(b) Bagi pihak mangsa, persetujuan biasanya diperlukan. Adalah penting untuk memastikan mangsa, terutamanya mereka yang telah mengalami serangan seksual, ditangani secara sensitif, untuk mengelakkan mereka daripada mengalami trauma semula.

(c) Jika tiada persetujuan, Polis secara amnya tidak akan meneruskan FME.

(i) Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian, contohnya, jika mangsa berada dalam keadaan koma selepas serangan seksual dan bukti DNA akan hilang jika tidak dikumpulkan secepat mungkin.

(ii) Skop pengecualian kepada persetujuan adalah ketat dan pihak Polis akan melaksanakan pengecualian tersebut secara bijaksana.

(iii) Pihak Polis juga akan menunggu, sejauh mungkin, untuk mangsa pulih sebelum mendapatkan persetujuan.


SEPP

13. Beralih kepada SEPP. SEPP adalah perubahan ketara kepada landskap hukuman kita.

(a) Kini, seseorang pesalah yang dijatuhkan hukuman penjara, dipenjarakan selama satu tempoh tetap yang ditentukan oleh Mahkamah, dan mesti dibebaskan tanpa syarat selepas tempoh itu. 
 
(b) Walau bagaimanapun, terdapat sekumpulan kecil pesalah berisiko tinggi yang masih menimbulkan bahaya kepada orang ramai pada masa dibebaskan, seperti pesalah seksual bersiri.

(c) Undang-undang pada masa ini tidak membolehkan kita menahan pesalah sebegini dari keluar penjara atau mengenakan sebarang syarat untuk pembebasan mereka, walaupun mereka berkemungkinan mengulangi kesalahan mereka.

14. Sebentar tadi, Menteri Shanmugam memberi contoh beberapa kes yang tragis dan mengerikan di mana pesalah melakukan jenayah yang serius sejurus selepas dibebaskan dari penjara dan juga merujuk kepada senarai kes-kes sedemikian. Izinkan saya berkongsi satu lagi contoh. 

(a) Pada tahun 2020, seorang pesalah telah disabitkan kerana melakukan penderaan seksual terhadap anak perempuan teman wanitanya yang berumur lapan tahun dan anak lelaki berusia sembilan tahun; kedua-duanya mempunyai IQ rendah. Pesalah tersebut telah menyerang mereka secara seksual, memaksa mereka menonton video yang memaparkan kelakuan seksual, dan melakukan perbuatan tidak senonoh sambil merakam mereka. Kanak-kanak tersebut menurut perintahnya kerana mereka tidak berdaya dan takut kepada pesalah. Pesalah telah mula melakukan kesalahan yang serius ini hanya dua tahun selepas dia dibebaskan dari penjara. Beliau asalnya dipenjarakan kerana melakukan penderaan seksual terhadap anak perempuannya sendiri yang berusia empat tahun.

15. Berbangkit daripada kes-kes sebegini, Pemerintah telah meninjau cara-cara untuk melindungi orang ramai dengan lebih baik daripada pesalah berbahaya sedemikian.

16. SEPP adalah respons kami. 

Gambaran Keseluruhan Rejim Dan Pelindung SEPP

17. Terdapat keperluan ketat yang mesti dipenuhi sebelum Mahkamah boleh mengenakan SEPP.

(a) Pertama, SEPP hanya boleh dikenakan bagi kesalahan yang sangat serius, yang akan dinyatakan dalam perundangan. Kesalahan-kesalahan ini termasuk homisid atau pembunuhan, percubaan membunuh, rogol dan penetrasi seksual kanak-kanak bawah umur. 

(b) Kedua, terdapat prasyarat ketat yang perlu dipenuhi sebelum SEPP boleh dikenakan.

(c) Ketiga, SEPP hanya digunakan untuk pesalah dewasa berumur 21 tahun dan ke atas pada masa kesalahan berlaku.

(i) Ini adalah selaras dengan pendekatan umum kita berkenaan hukuman terhadap pesalah muda, di mana tumpuan utama adalah pada pemulihan.

18. Memandangkan SEPP adalah bentuk hukuman, Mahkamahlah yang akan memutuskan sama ada untuk mengenakan SEPP.

(a) Ini biasanya dilakukan selepas mempertimbangkan laporan penilaian risiko oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) yang dilakukan secara bebas. Pihak Pembela juga boleh mengemukakan laporan pakarnya sendiri. Prosedur mahkamah akan digunakan pada peringkat ini. Rayuan juga boleh difailkan jika pihak Pendakwa atau Pembela tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah.

(b) Mahkamah akan kekal punya budi bicara untuk tidak mengenakan SEPP, contohnya, jika hukuman yang kurang berat masih dapat mencapai matlamat perlindungan awam.

19. Apabila mengenakan SEPP, Mahkamah akan menetapkan tempoh minimum tahanan antara 5 dan 20 tahun. Pesalah akan ditahan di penjara selama tempoh minimum ini, yang tidak boleh dipendekkan.

Bidang Kuasa Menteri

20. Pada akhir tempoh minimum tersebut, pesalah akan dinilai semula dan hanya dibebaskan jika dinilai sesuai untuk dibebaskan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri, atas nasihat Lembaga Semakan Tahanan.

21. Ini adalah soal perlindungan dan keselamatan awam yang sebaik-baiknya diputuskan oleh Menteri, dan bukannya hakim. Kuasa Menteri di bawah SEPP juga selaras dengan rejim sedia ada seperti latihan pembetulan (CT) dan tahanan pencegahan (PD), dan bagi hukuman penjara seumur hidup.

22. Kuasa Menteri tertakluk kepada pelindungan. Jika Menteri memutuskan untuk tidak melepaskan pesalah, Menteri mesti menyemak semula keputusan itu dalam tempoh setahun. Kesannya, kuasa Menteri hanya untuk menahan seseorang selama satu tahun lagi, sebelum status itu disemak lagi. Tambahan pula, keputusan Menteri tertakluk kepada semakan kehakiman atau judicial review.

Proses Semakan

23. Proses semakan juga akan bersifat adil.

(a) Akan ada Lembaga Semakan Tahanan yang akan menilai setiap pesalah di bawah SEPP.

(i) Lembaga semakan akan terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang psikiatri atau psikologi forensik, atau pengalaman dengan sistem keadilan jenayah. Ini mungkin termasuk hakim bersara dan pesuruhjaya kehakiman bersara, peguam kanan atau pakar psikologi dan psikiatri. 

(b) Pesalah atau wakilnya, termasuk anggota keluarga atau penasihat undang-undang, akan dibenarkan membuat perwakilan.

(c) Semua maklumat yang berkaitan akan diberikan kepada lembaga semakan dan, seterusnya, kepada Menteri, termasuk mengenai kelakuan dan kemajuan pesalah, dan penilaian risiko oleh seorang pakar psikiatri yang dilakukan secara bebas atau independen.

Penilaian Risiko Berasaskan Bukti 

24. Satu pelindung utama, baik di peringkat hukuman mahupun semakan, adalah penilaian pakar yang dilakukan secara bebas.

25. Penilaian sedemikian akan dilakukan oleh pakar psikiatri menggunakan wadah saintifik berasaskan bukti, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

(a) Mereka akan menilai dengan teliti pelbagai faktor risiko, termasuk: keganasan masa lalu; tahap kefahaman pesalah tentang kelakuannya dan responsnya terhadap rawatan; dan sokongan yang sedia ada kepada pesalah apabila dibebaskan. 

Pembebasan

26. Sekiranya Menteri mendapati pesalah sesuai untuk dibebaskan, pesalah akan dilepaskan dengan lesen dan tertakluk kepada syarat. Ini boleh termasuk kaunseling wajib, pemantauan elektronik atau perintah berkurung.

27. Tempoh pelepasan berlesen ini mengimbangi keperluan untuk membenarkan pesalah sebegini kembali kepada kehidupan dalam masyarakat, dengan keperluan untuk mengurangkan ancaman kepada orang ramai.

(a) Kami akan membantu pesalah yang dilepaskan secara berlesen, kembali ke dalam masyarakat.

(b) Tetapi sekiranya seseorang pesalah melanggar syarat lesennya atau melakukan kesalahan semula, dia boleh dipenjarakan semula dan Menteri boleh membatalkan perintah pembebasannya.

28. Sebaik sahaja dilepaskan dengan lesen, pesalah tersebut akan disemak sekurang-kurangnya setiap dua tahun, untuk memantau kemajuannya. Jika sesuai, pesalah boleh dibebaskan tanpa syarat dan hukuman diakhiri.

Manfaat SEPP 

29. Tuan Speaker, SEPP mempunyai banyak kebaikan, termasuk meningkatkan perlindungan masyarakat daripada bahaya, menggalakkan pemulihan kerana pesalah punya insentif yang kuat untuk memperbaiki diri dan ketetapan hukuman yang adil berdasarkan risiko.

30. Kita memperkenalkan rejim ini selepas mengkaji dengan teliti isu ini dan membuat kesimpulan bahawa ianya perlu demi melindungi orang ramai dengan lebih baik. Kita juga telah membincangkan pindaan ini secara meluas, termasuk mengadakan perundingan awam pada tahun 2021, dan telah mengambil cadangan yang dikemukakan.