Parliamentary Speeches

Workplace Harassment and Racial Discrimination Within the Home Team (In Malay) – Speech by Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim, Minister of State

Published: 06 February 2024

Opening

1. Mr Speaker, I will speak in Malay, on behalf of Minister. 


Gangguan Di Tempat Kerja Dan Diskriminasi Kaum Dalam Home Team

2. Home Team tidak akan sekali-kali bertoleransi terhadap sebarang gangguan di tempat kerja dan diskriminasi kaum. Kami memandang serius akan semua dakwaan seperti ini dan akan segera menyiasat dengan tegas. Kami telah menyediakan pelbagai perlindungan untuk mencegah dan mengesan tingkah laku tersebut. Ini telah dinyatakan dalam jawapan bertulis Menteri Shanmugam kepada soalan Parlimen mengenai saluran bagi Pegawai Home Team untuk mengemukakan aduan, pada September tahun lalu.      

3. Saya akan mengetengahkan beberapa perkara utama daripada jawapan itu dan membuat huraian lanjut. 

4. Terlebih dahulu, izinkan saya merumuskan hasil siasatan terhadap dakwaan mendiang Sarjan Uvaraja. Siasatan-siasatan yang telah kami jalankan mendapati bahawa kebanyakan dakwaan, termasuk beliau dianiaya, dibuli, disisihkan dan ditahan secara tidak adil dalam kerjaya, dan salah laku pegawai lain telah ditutup, ternyata adalah palsu. Di mana aduan-aduan itu berasas, tindakan sewajarnya telah pun diambil, dan pegawai-pegawai yang terlibat telah pun dikenakan tindakan.

5. AGC telah pun meneliti dapatan itu, dan memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut perlu diambil terhadap pegawai-pegawai yang terlibat. Menteri Shanmugam juga telah menyemak dapatan tersebut.   


Saluran Untuk Melaporkan Gangguan Di Tempat Kerja Dan Diskriminasi Kaum

6. Mengenai saluran-saluran laporan yang disediakan untuk Pegawai Home Team menyuarakan ketidakpuasan hati, atau melaporkan salah laku atau diskriminasi di tempat kerja, mereka boleh berbuat demikian kepada mana-mana peringkat pengurusan melalui Saluran Bagi Pengendalian Aduan Formal dan Saluran untuk Pendedahan Etika Sulit. Para pegawai  telah pun dimaklumkan mengenai saluran-saluran laporan ini sejak mereka mula menyertai MHA, dan di pelbagai sesi perbincangan yang diadakan.   

7. Terdapat garis panduan dan proses maklum balas yang jelas untuk memastikan bahawa semua laporan mengenai diskriminasi di tempat kerja, layanan yang tidak adil, atau salah laku, akan disiasat secara objektif, profesional dan segera. Pegawai yang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan boleh membawa perkara ini ke peringkat yang lebih tinggi dalam Kementerian, Divisyen Perkhidmatan Awam, malah kepada Ketua Perkhidmatan Awam.   

8. Pegawai-pegawai juga boleh memberikan maklum balas tanpa nama, termasuk mengenai isu-isu diskriminasi di tempat kerja, melalui Tinjauan Nadi MHA, Tinjauan Penglibatan Kakitangan Perkhidmatan Awam, dan Tinjauan 360 Darjah penyelia. Maklum balas yang diterima melalui tinjauan-tinjauan  ini diambil serius dan disiasat jika perlu.   

9. Sepanjang lima tahun yang lalu, 310 kes salah laku telah dilaporkan di kesemua Jabatan Home Team, di mana 92 daripadanya, atau kira-kira 30%, merupakan laporan tentang gangguan di tempat kerja. 

10. Siasatan kami menunjukkan bahawa 50 daripada 92 kes telah disahkan. Dan daripada 50 kes itu, tiga adalah mengenai diskriminasi kaum, dua daripadanya adalah daripada pasukan polis. Para pegawai dalam kesemua 50 kes telah dikenakan tindakan mengikut Rangka Kerja Tatatertib Perkhidmatan Awam.     


Melatih Pegawai Untuk Mencegah, Mengesan Dan Melaporkan Kelakuan Yang Salah

11. Saluran-saluran laporan organisasi formal ini adalah perlu, tetapi ia tidak mencukupi. Setiap pegawai memainkan peranan yang penting untuk memastikan tempat kerja kekal selamat untuk semua orang.   

12. Para pegawai boleh menghadiri Program dan latihan untuk mempelajari sensitiviti budaya, agama dan kaum, serta tingkah laku yang merupakan pembulian dan gangguan seksual. 

13. Melalui latihan-latihan seperti ini, kami memperkasa para pegawai dengan kemahiran untuk mencegah dan mengesan gangguan di tempat kerja. Pada masa yang sama, kami memberi jaminan kepada mereka bahawa mereka boleh tampil kehadapan apabila mereka menyaksikan atau menjadi mangsa gangguan di tempat kerja.   


Dialog Antara Pegawai Dan Pihak Pengurusan Kanan

14. Selain itu, Menteri Shanmugam, Menteri Kedua Josephine, MOS Xueling, dan saya, serta pengurusan kanan Pasukan Home Team, kerap melibatkan pegawai kami dalam sesi-sesi dialog. Kami melakukan ini untuk menfaham dengan lebih baik tentang cabaran yang mereka hadapi setiap hari.   

15. Semasa sesi-sesi ini, para pegawai mengetengahkan isu-isu dan keprihatinan mereka, dan mereka juga boleh berbuat demikian  tanpa nama melalui platform dalam talian yang boleh disediakan untuk dialog. 

16. Dalam sesetengah keadaan, kami juga mengatur sesi kumpulan yang lebih kecil jika ada pegawai yang lebih suka bercakap dengan kami dalam suasana yang lebih tertutup. 

17. Kami memandang serius semua isu dan keprihatinan yang ditimbulkan oleh para pegawai kami. 


Kesimpulan 

18. Tuan Speaker, MHA mengambil pendirian tegas terhadap gangguan di tempat kerja dan diskriminasi kaum. Kami memandang serius semua dakwaan seperti ini dan melakukan siasatan dengan teliti.   

19. Tetapi kita tidak dapat menafikan bahawa terdapat segelintir kambing hitam; tiada pertubuhan atau masyarakat yang dapat menghapuskan sepenuhnya segala gangguan dan diskriminasi. Tetapi kes-kes seperti ini jarang sekali berlaku dalam Home Team.     

20. Dan jika kami dapati terdapat sebarang salah laku, yakinlah bahawa kami tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas ke atas pegawai yang terlibat, tanpa mengira pangkat dan darjat. Inilah satu-satunya cara untuk mengekalkan keyakinan dan kepercayaan para pegawai kami dan orang awam umumnya  

21. Terima kasih, Tuan Speaker.